Musim Anugerah

PEPERIKSAAN akhir tahun di sekolah dah habis, sampai masa keputusan pula diumumkan. Kemudian sekolah akan mengadakan hari anugerah untuk pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka. Setakat hari ini anak-anak saya belum ada rezeki memanjat tangga pentas Hari Anugerah untuk mendapat hadiah. 
Memang besar harapan ibu bapa melihat anak-anak berjaya. Namun kita tidak boleh meletakkan syarat kejayaan itu ialah apabila kamu menang anugerah dan berapa kali kamu mendapatnya. Anak-anak ke sekolah untuk belajar. Mereka bukan artis yang mengukur kejayaan bidang nyanyian dan lakonan berdasarkan jumlah trofi yang dimenangi. Maka, walaupun tidak berjaya, anak-anak masih ada ruang untuk belajar lebih rajin dan terus berusaha sehingga ke peringkat tertinggi.

Saya pernah menampal keputusan peperiksaan anak-anak yang cemerlang di media sosial. Walaupun tidak layak ke pentas anugerah, mereka tetap cemerlang di mata saya sebagai ibu yang banyak mendorong dan membebel supaya mereka rajin belajar. Jadi saya gembira untuk berkongsi rasa kebahagiaan itu. Namun, suami saya menegur dan meminta supaya saya membuang tampalan gambar-gambar tersebut. Untuk apa katanya? Menunjuk-nunjuk? Kecil hati saya masa itu. Dia asyik bekerja di luar, manalah tahu susah payah saya mengajar dan memotivasikan anak-anak di rumah. 

DI SEBALIK pandangan seorang ayah dan kebanggaan seorang itu, ada pro dan kontra di situ. Suami saya memberitahu supaya jangan menekan aspek peperiksaan kepada anak-anak. Kalau anak tak lulus peperiksaan hari ini, jangan anggap seolah-olah nanti gelaplah masa depannya. Jangan ukur nilai kualiti anak dengan peperiksaan. Banyak cabang lain yang mesti kita ketengahkan selain peperiksaan. Jika belajar semata-mata untuk peperiksaan, maka hilanglah kualiti ilmu yang dipelajari. Saya terdiam.
Saya rasa diri saya contoh terbaik dalam memahami maksudnya itu.

Katanya lagi, bukan tidak elok peperiksaan tetapi jangan menekan anak-anak dengan keputusan peperiksaan mereka. Lihat bagaimana pencapaian mereka secara keseluruhannya. Mereka sudah berusaha sehabis baik atau tidak? Adakah penting nombor dalam kelas? Adakah tidak dapat nombor 1,2, atau 3 anak itu tidak cerdik? Pencapaian setiap anak berbeza-beza. Jangan membandingkan sesama mereka. Jangan juga membandingkan dengan anak orang lain. Namun wujud ibu bapa yang dengan bangga menjaja kecemerlangan akademik anak-anak. Kemudian, bertanya-tanya pada 'saingan' anak mereka/anak sahabat mereka tentang keputusan peperiksaan yang diperolehi. Sebenarnya anak-anak juga stress bila terjadi situasi begini. Jika cemerlang dicanang, jika tak cemerlang diam-diam sahaja. Jatuhkah maruah ibubapa kalau anak tidak cemerlang/gagal?

Anak yang cerdik juga sebenarnya boleh dilihat di sudut cara mereka berfikir. Mereka bijak menyampaikan pendapat berdasarkan penglihatan/kepekaan mereka terhadap persekitaran dan juga isu semasa. Mereka mampu melontar idea dengan baik. Namun, bila dilihat dalam peperiksaan, ada segelintir dari mereka gagal cemerlang. Jika gagal, mungkin ada faktor penyebabnya. Sebagai ibupa, kita harus meneliti semua faktor bukan terus menyalahkan anak-anak atas kegagalan mereka.

BERILAH masa untuk anak-anak kita berusaha hingga mencapai cita-cita mereka. Bukan cita-cita ibu bapa mereka. Jujurnya, saya juga ada harapan besar melihat anak-anak menjadi doktor, saintis, alhafiz, atau jurutera. Namun, suami saya cepat-cepat menyekat niat saya itu dengan nasihat  - biarlah anak-anak kita jadi apa yang dia mahu. Biar masa menentukan. Mereka hanya kanak-kanak yang masih dipengaruhhi persekitaran yang mereka lalui 

Jika hari ini mereka lihat polis itu hebat menangkap penjenayah, maka mereka hendak menjadi polis. Jika mereka melihat hebatnya kapal terbang berada di langit, maka mereka bercita-cita untuk menjadi pemandunya. Bahkan anak saya teringin mempunyai sebuah rumah yang cantik dan sempurna. Lalu dia hendak menghadiahkan sebuah rumah untuk saya. Langsung dia menukar cita-cita hendak menjadi arkitek. Cita-cita anak-anak masih kabur dan sering berubah-ubah. Masa akan membantu menetapkan keputusan mereka kelak.

Sedih kan, bila impian ibubapa musnah - Anak-anak yang diletakkan harapan menggunung akhirnya terjunam ke kancah jenayah, maksiat dan menjadi sampah masyarakat. Ada anak-anak yang membunuh diri tertekan dengan belajar. Kenapa jadi sedemikian? Mungkin ada silap kita semasa mendidik ketika mereka masih kecil. Mungkin silap mereka juga kerana membuat keputusan sendiri tanpa menimbangkan pendapat ibu bapa. Namun, ada hikmah disebalik segala kejadian. 

Hidup tidak bermakna tanpa ujian. Ujian tidak bererti jika tiada usaha dan sabar. Usaha menjadi bererti dengan kemenangan. Namun kemenangan perlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan keikhlasan. Keiklasan hanya diperolehi hati yang redha pada Ilahi. Redha Tuhan carilah dengan sentiasa melakukan apa yang diperintah dan menjauhi yang dilarang. Bagaimana? Hiduplah berpandu Alquran dan Assunnah - ini titik permulaan yang perlu kita ajar pada anak-anak di rumah. Jangan mengharapkan guru-guru di sekolah. Kejayaan di dunia kita bina, kejayaan di akhirat kita kejar. 

0 comments: