| link |
Saya ditanya oleh seorang kawan tentang berkongsi bilik tidur dengan anak-anak.
"Kau buat macam mana ye?"
Beritahunya lagi, suaminya ada komplen tentang hal tersebut.
Saya puas juga berfikir untuk memberikan pendapat. Ini kerana, saya memang tidak bawa anak-anak tidur sekali di bilik. Bahkan saya yang pergi tidur di bilik mereka. Bila anak-anak dah tidur, pandai-pandailah kita cari 'jalan pulang'.
Anak-anak kekadang merasa tidak selamat bila berjauhan dengan ibu bapa, terutamanya si ibu. Bagi anak-anak berusia 1-3 tahun (bahkan mungkin lebih) selalu berada di bawah ketiak emak dan bila sampai masa hendak berpisah pastilah akan terasa kehilangan dan juga takut.
Bagi saya, di permulaan diri sendiri juga akan terasa janggal. Anak juga bijak, bila mana tengah tidur malam ia boleh terasa ruang sebelah kosong. Dia akan menangis dan mencari-cari ibu. Aduhai, suami kenalah beralah sekali sekala dan membiarkan isteri tidur bersama anak. Insha Allah, lama kelamaan mereka akan terbiasa tidur sendiri. Dalam hal ini, suami isteri harus bekerja sama untuk menggalakkan anak tidur sendiri di bilik mereka. Jangan hanya pandai komplen dan kritik pasangan. Luahkan pujian dan kata-kata semangat kepada anak-anak.
Lebih mudah lagi jika ada anak yang besar untuk menjaga adik yang kecil. Untuk memudahkan proses ini dilaksanakan, saya memang menghalang anak-anak menonton filem hantu kerana ini akan menyebabkan mereka lagi ketakutan bila berjauhan dari ibu bapa.
Soal pemisahan tempat tidur bukan sahaja di kalangan ibubapa dengan anak-anak, bahkan kalangan anak-anak berlainan jantina. Ada setengah ibu bapa berpendapat tidak kisah atau tidak mengapa bila mana mereka berkongsi bilik dengan anak dan juga anak-anak lelaki dan perempuan berkongsi bilik bersama. Mungkin juga keadaan rumah yang kecil dan sempit mennyebabkan mereka menerima sahaja keadaan itu.
Saya pernah mendengar cerita di mana ibu bapa disoal anak kecil tentang 'sesuatu' yang mereka lihat tetapi mereka tidak faham kenapa dan bagaimana ia terjadi. Ibu bapa menjadi tergamam dan tersentak namun benda dah jadi barulah nak terngadah. Berhati-hatilah sebelum terjadi. Kalau rumah sempit pun pandai-pandailah adjust ruang agar pemikiran anak-anak kecil yang bersih dan suci itu tidak dinodai dengan pemandangan yang tidak sepatutnya mereka lihat.