Berpisah tempat tidur dengan anak

girl sleeping in bed with parents
link
Saya ditanya oleh seorang kawan tentang berkongsi bilik tidur dengan anak-anak.

"Kau buat macam mana ye?" 

Beritahunya lagi, suaminya ada komplen tentang hal tersebut.

Saya puas juga berfikir untuk memberikan pendapat. Ini kerana, saya memang tidak bawa anak-anak tidur sekali di bilik. Bahkan saya yang pergi tidur di bilik mereka. Bila anak-anak dah tidur, pandai-pandailah kita cari 'jalan pulang'. 

Anak-anak kekadang merasa tidak selamat bila berjauhan dengan ibu bapa, terutamanya si ibu. Bagi anak-anak berusia 1-3 tahun (bahkan mungkin lebih) selalu berada di bawah ketiak emak dan bila sampai masa hendak berpisah pastilah akan terasa kehilangan dan juga takut.

Bagi saya, di permulaan diri sendiri juga akan terasa janggal. Anak juga bijak, bila mana tengah tidur malam ia boleh terasa ruang sebelah kosong. Dia akan menangis dan mencari-cari ibu. Aduhai, suami kenalah beralah sekali sekala dan membiarkan isteri tidur bersama anak. Insha Allah, lama kelamaan mereka akan terbiasa tidur sendiri. Dalam hal ini, suami isteri harus bekerja sama untuk menggalakkan anak tidur sendiri di bilik mereka. Jangan hanya pandai komplen dan kritik pasangan. Luahkan pujian dan kata-kata semangat kepada anak-anak.

Lebih mudah lagi jika ada anak yang besar untuk menjaga adik yang kecil. Untuk memudahkan proses ini dilaksanakan, saya memang menghalang anak-anak menonton filem hantu kerana ini akan menyebabkan mereka lagi ketakutan bila berjauhan dari ibu bapa.

Soal pemisahan tempat tidur bukan sahaja di kalangan ibubapa dengan anak-anak, bahkan kalangan anak-anak berlainan jantina. Ada setengah ibu bapa berpendapat tidak kisah atau tidak mengapa bila mana mereka berkongsi bilik dengan anak dan juga anak-anak lelaki dan perempuan berkongsi bilik bersama. Mungkin juga keadaan rumah yang kecil dan sempit mennyebabkan mereka menerima sahaja keadaan itu.

Saya pernah mendengar cerita di mana ibu bapa disoal anak kecil tentang 'sesuatu' yang mereka lihat tetapi mereka tidak faham kenapa dan bagaimana ia terjadi. Ibu bapa menjadi tergamam dan tersentak namun benda dah jadi barulah nak terngadah. Berhati-hatilah sebelum terjadi. Kalau rumah sempit pun pandai-pandailah adjust ruang agar pemikiran anak-anak kecil yang bersih dan suci itu tidak dinodai dengan pemandangan yang tidak sepatutnya mereka lihat.

Bersama Jakim
Soalan:
Saya mempunyai dua anak, seorang lelaki berumur dua tahun dan seorang perempuan berumur empat tahun. Ketika ini, mereka tidur sebilik bersama saya dan suami. Pada pandangan saya, ia tidak menjadi masalah kerana mereka masih kanak-kanak. Dari sudut Islam, saya ingin tahu bilakah masa sesuai untuk memisahkan mereka iaitu tidur di bilik berlainan? 
Rozi Abdullah, Kuala Krai, Kelantan. 
Jawapan:
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur: 58 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana"
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam menyediakan garis panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak dengan akhlak mulia seperti menghormati ibu bapa dan batas serta adab pergaulan antara anak dan ibu bapa sejak kecil. Pada masa sama, Islam membimbing ibu bapa supaya menjaga batas aurat terhadap anak supaya mereka tidak melihat sesuatu yang tidak baik daripada ibu bapa mereka. 
Rasulullah SAW menganjurkan ibu bapa supaya mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan. Ia dapat dilihat daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
"Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, juga pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur." (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud). 
Hadis ini menjelaskan selain itu Rasulullah SAW memberi garis panduan mengenai pemisahan tempat tidur anak lelaki dan perempuan apabila mereka mencapai umur 10 tahun. Walaupun hadis ini mengenai pemisahan antara anak lelaki dan perempuan, namun ibu bapa perlu menghindari anak daripada tidur sebilik dengan mereka. Perkara ini menjelaskan bahawa kanak-kanak perlu dididik dengan pendidikan akidah, syarak dan akhlak sejak kecil supaya mereka tidak terpesong daripada ajaran Islam. 
Antara tujuan Rasulullah SAW menganjurkan perintah itu untuk menjaga keharmonian dan maruah ahli keluarga. Di samping ia bertujuan mendidik anak dengan akhlak dan batas  pergaulan antara ahli keluarga supaya tidak berlaku perkara negatif seperti sumbang mahram. Tambahan pula dengan kemudahan teknologi yang ada pada hari. Oleh itu, wajarlah mereka dipisahkan dari tidur bersama ibu bapa atau adik-beradik lelaki dan perempuan lebih awal daripada usia 10 tahun.

2 comments:

ProfHariz said...

Saya semasa umur 9 tahun tak silap dah tak tidur dengan ibu :)

Aina said...

9 tahun?besau dah tu.ke awak nak bongsu ek..

btw thanx drop by kat sini:)