Bagaimana melupuskan sisa minyak masak?

Saya ada bertanya seseorang di kejiranan kami tentang bagaimana dia menguruskan sisa minyak masak. Dia mengesyorkan di buang sahaja ke dalam lubang sinki. Saya geleng kepala. Itu ialah cara yang saya cuba elakkan! Kalaulah tersumbat saluran sinki tu, nanti masalah lain pula yang timbul.

Saya bertanya pula dengan yang lain. Dia mengesyorkan saya supaya mengisi sisa minyak masak ke dalam plastik dan diikat elok-elok macam bungkus gulai kenduri atau teh tarik bungkus dari kedai. Kemudian, baru dibuang ke tempat pembuangan sampah. Ya, saya praktikkan juga, tetapi bila ikatan saya tidak kemas, ia menyebabkan minyak mengalir keluar dan mengotorkan kawasan. Alam sekitar juga terjejas kan?

Dilaporkan, antara keburukkan sisa minyak yang dibuang secara tidak teratur ialah:

 1. Ia mencemarkan sumber air (sungai dan pantai)
 2. Sinki, longkang dan loji IWK tersumbat.
 3. Mengurangkan kadar penguraian di tapak pelupusan sampah.
 4. Rumah, taman dan restoran menjadi kotor, berbau dan mengundang tikus atau lipas.
 5. Haiwan Bio-indikator dan Pokok Bakau akan pupus. [sumber],

Kemudian, saya terfikir untuk simpan semula sisa minyak masak ke dalam botol minyak masak yang telah kosong. Saya biarkan botol penuh baru saya angkut ke tempat pembuangan sampah. Saya tunggu berbotol-botol baru saya fikir untuk angkut dan dibuang. Jenuh pulak nak atur di tepi tong sampah.

Kini, saya terfikir pula, jika ada tempat khas untuk membuang sisa minyak tersebut. Menurut carian di Google, sisa minyak boleh dikitar semula untuk dijadikan sabun dan lilin. Ada beberapa komuniti yang menjalankan kempen pelupusan sisa minyak masak dan terdapat komuniti tong minyak yang berusaha dalam melaksanakan usaha murni ini demi kesejahteraan alam sekitar.

Menurut maklumat di sini, ada beberapa saranan kepada kita terutama para isteri yang suka memasak di dapur. Oh, saya lah tu! Hehe... :) Tatacara untuk mengasingkan sisa minyak masak di rumah yang digalakkan ialah:
 1. Sisa minyak ditapis untuk mengasingkan sludge dalam minyak.
 2. Sisa minyak yang ditapis itu disimpan di dalam botol kosong.
 3. Bawa botol sisa minyak tadi ke komuniti tong minyak di tempat pusat kitar semula dan jualkan dengan harga yang telah ditetapkan
Nampak, macam kitar semula barangan plastik, kertas dan botol plastik aje kan? Boleh jual dan dapat duit. Namun, bukan duit yang dicari tetapi fikirkan kebaikan untuk alam sekitaran kita juga.

Jadi, bagaimana korang menguruskan sisa  minyak masak di rumah??? Kalau korang tahu alamat komuniti tong minyak area Kuala Lumpur (Hulu Kelang/Wangsa Maju/Keramat) bolehlah share kat sini...terima kasih.

0 comments: