السلام عليكم
Artikel ini disiarkan di Sinar Harian Online dan ditulis oleh Abdul Jalil Ali. Beliau merupakan ketua editor Kumpulan Karangkraf, juga seorang wartawan dan penulis buku/novel.
Antara pandangannya berkenaan artis sebagai wakil dalam pilihanraya akan datang bagus untuk memancing undi bagi parti yang diwakili. Saya setuju jika ia bertujuan untuk meraih undi. Namun tidak bersetuju jika dipilih hanya berdasarkan populariti sedangkan dia mungkin tidak mampu atau kurang upaya untuk berkhidmat dengan dedikasi, wibawa, matang dan bijaksana. Apakah nanti boleh diharap untuk berkhidmat untuk rakyat? Korang mengundi calon dengan melihat personaliti/keperibadiannya atau dasar parti yang diwakili semata?
Saya suka kalau si dia ini yang bertanding. Dia cantik, bijak, pandai bercakap, ada ilmu dan Insya Allah boleh bekerja untuk rakyat. Tapi, sayangnya dia tidak berminat nak berpolitik. Mungkin hanya pada masa ini. Akan datang siapa tahu kan?
Dia dengan keluarga besarnya. Ihsan Gugel imej
Berikut ialah pendapat Abdul Jalil.
Jika Lisa Surihani calon PRU13...
Memang saya mengharapkan ramai lagi, tetapi setakat semalam hanya seorang artis wanita dinamakan sebagai calon untuk PRU13. Wan Aishah Wan Ariffin @ Aishah, penyanyi yang popular menerusi lagu Janji Manismu, diletakkan sebagai calon Pas untuk Parlimen Jempol.
Belum pasti siapa akan dipilih parti lawan untuk menentang wanita berusia 48 tahun dan beranak dua, kelahiran Negeri Beradat itu. Atau, adakah sesiapa berani mencuba nasib sebagai calon bebas melawan Aishah?
Amaran: Hanya yang bersuara lunak seperti buluh perindu digalakkan mencuba sebagai calon bebas menentang bekas anggota kumpulan Fan Club itu. Tidak layak langsung mencuba bagi sesiapa yang suara seperti buluh betong, atau suara ala-ala dentuman bom dalam ‘Op Daulat’ di Tanduo, Lahad Datu.
Ada ramai artis wanita yang boleh dicalonkan untuk menentang Aishah. Kalau hendak yang suara manja saya cadangkan Ella. Walaupun sudah bergelar isteri, gaya dan suaranya masih tetap membuat pengundi – terutama lelaki – longlai. Shiela Amzah, Yuna, Misha Omar pun layak.
Ada artis wanita suara tidak berapa menawan tetapi lakonan dan gayanya amat memukau. Rozita Che Wan pada hemat saya paling sesuai. Jelingannya pasti mendapat undi. Atau, apa kata Datuk Siti Nurhaliza yang suaranya terus memukau, gayanya terus memikat?Kalau Lisa Surihani bertanding di tempat saya, tidak kira parti apa, tetap dia mendapat satu undi daripada saya. Akan saya pangkah dia tanpa was-was, hatta jika lawannya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abd Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz, waima Datuk Seri Najib Tun Razak sekali pun.
Kecuali jika yang melawan Lisa ialah Maimun Yusuf @ ‘Tok Mun’, maka aktres manis itu tidak saya pangkah, sebab undi saya yang satu akan diberi kepada wanita gigih berusia 93 dari Terengganu itu, sebagai undi kesian.
Kalau hendak memenangi undi wanita, artis lelaki juga boleh dipertimbangkan sebagai calon. Aaron Aziz yang macho sakan dan menghiris perasaan wanita menerusi filem box-office Ombak Rindu, pasti meraih ramai undi kaum Hawa, tidak kira di kawasan mana dia bertanding.
Bagaimanapun untuk PRU13 ini Aaron belum layak bertanding, sebab dia masih warganegara Singapura.
Fahrin Ahmad pun tidak kurang hebatnya. Kalau tanya sepuluh wanita, pasti sembilan menyukainya; seorang lagi yang tidak menyukainya itu mungkin sebab buta, boleh jadi juga minda tidak stabil. Semak dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kawasan mana paling ramai pengundi wanita, dan letakkan Fahrin.
Kalau hendak artis lelaki tampan lagi kelihatan berhemah, saya cadangkan Datuk Jalaluddin Hassan. Tampan bergaya, suaranya romantik, sekali dia tersenyum lemah longlai jiwa wanita. Kalau dia berlakon memegang watak jahat pun, wanita tetap suka. Begitulah hebatnya beliau.
Saya tidak bergurau apabila mencadangkan nama-nama artis untuk PRU13. Sebenarnya masa sudah tiba golongan karyawan diberi peluang dalam pilihan raya. Ini bukan sesuatu yang luar biasa – juga bukan luar tabii! – sebab di tempat lain artis bukan sahaja bertanding, malah apabila menang diberi jawatan penting dalam kerajaan.
Di Amerika Syarikat ada pelakon koboi yang masuk politik, bertanding dalam pilihan raya, dan akhirnya terpilih sebagai pemimpin No.1 negara besar itu. Beliau ialah Ronald Reagan yang pada 1981 menjadi Presiden Amerika ke-40. Arnold Schwarzenegger, aktor maco bertubuh sasa itu menjadi Gabenor California dari 2003 hingga 2011.
Marudhur Gopalan Ramachandran @ MGR lama berkecimpung dalam dunia perfileman India sebagai pelakon, pengarah, penerbit, sebelum akhirnya memenangi pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri Tamil Nadu.
Di Filipina Joseph Estrada berkerjaya dalam seni selama 33 tahun dan berlakon dalam lebih 100 filem, bertanding dalam pilihan raya, terpilih sebagai Senator dan akhirnya menjadi Presiden ke-13 negara itu dari 1998-2001.
Di tempat kita seingat saya hanya Tan Sri Jins Shamsuddin yang masuk politik dan akhirnya dilantik sebagai Senator. Harap-harap lepas PRU13 nanti ada mana-mana artis kita – tidak kira lelaki, lebih sedap lagi jika wanita – dipilih rakyat, dan dilantik sebagai anggota jemaah menteri
0 comments:
Post a Comment