Kerana harta manusia sanggup...



السلام عليكم

Kata pepatah, 'air dicincang tidak akan putus'. Memang betul! Itu kalau kita mencincang air. Tetapi, kalau sesama manusia, habis putus dan hancur lumat kalau kena cincang!

Ok, ni bukan nak cerita tentang cincang orang, putus kepala atau putus kaki orang.


Perumpamaan di atas dihasilkan demi merujuk kepada perhubungan adik beradik. Walau seteruk mana pun hubungan adik beradik, berkelahi sampai tegang urat leher masing-masing dan sebagainya, mereka akan tetap adik beradik sampai bila-bila. Walaupun selepas mati mereka tetap saudara sedarah dan sekandung yang berbin/binti ayah/ibu yang sama juga.


A009
Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

Harta dunia mudah menggoda kita. Tidak kira sama ada harta benda, duit ringgit atau sebagainya yang berharga ia seringkali menjadi tujuan utama hidup kita hari ini.


Rumah hendak banglo bertingkat
Kereta mesti mau yang berkilat-kilat
Isteri kalau boleh nak cukupkan empat
Anak-anak tak mahu dengar nasihat
Ibu bapa tua kerepot hidup merempat
Duit ringgit berlipat-lipat
Emas berlian berkarat-karat tak larat angkat
Akhirnya,
Masuk ke kubur di makan ulat
Harta dunia tak boleh mensyafaat
Sesal kemudian sangatlah ralat
Kecuali hidup sempat bertaubat
Miskin di dunia, kaya di akhirat

Saya rasa, saya bukanlah naif sangat. Saya suka anggap semua orang yang saya kenal baik itu memang baik dan yang nampak jujur itu memang betul-betul jujur  semuanya. Tapi, bila ada orang lain menyampai cerita tentang keburukannya, saya takkan sewenang-wenang percaya 100%. Namun bila mana individu yang menyampai cerita itu juga boleh diyakini sumbernya maka saya terpaksa mengakui hakikat hidup ini. Sebagaimana dalil dari Surah Yaasiin di atas. Kerana harta manusia boleh putus saudara! Kerana harta manusia sanggup membunuh saudara, malah ibubapa sendiri. 

Menurut ayat di atas, "Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)." Kenapa pula ALLAH nak menutup pendangan mereka? Nauzubillah. Itulah padahnya kalau kita berpaling dari 'pesan-pesan kepada kebaikan' yakni kebenaran/nasihat yang baik.

Dalam pada saki baki usia yang masih dipinjamkan Tuhan, saya berharap ALLAH akan sentiasa menyatupadukan hati-hati saya dan adik beradik untuk saling berkasih sayang sesama kami. Walaupun emak dan abah kami orang yang tak punya harta melimpah, wang berjuta dan emas berkarung, saya berharap tiadalah harta di dunia ini yang kami hendak rebutkan sampai nak berputus saudara. Bukan setakat nak berputus saudara, bahkan sanggup untuk mendatangkan kesakitan dan menyiksa orang lain (santau, sihir dsb..)  disebabkan dengki atau cemburu. 

Takutnya...buta mata tak nampak jalan, tapi kalau buta hati segala kebaikan/kebenaran pun kita lihat tak elok/menjijikkan. Semoga ALLAH sentiasa memelihara hati-hati kita daripada tersasar dari jalan-Nya yang benar. Amin.

0 comments: