Sabarkan ajalah

Kata orang udara pagilah paling nyaman dan menyegarkan. Elok bersenam di waktu pagi atau petang, sambil menghirup udara segar yang menyihatkan badan. Kalau nak rezeki masuk, bangun Subuh tu bukalah pintu dan tingkap. Selepas Subuh juga jangan tidur. 

Kalau udara pagi menyegarkan, adakah segar lagi menyihatkan kalau buka tingkap sahaja sudah ada bau busuk mencucuk hidung. Kebetulan rumah saya berdekatan kolam kumbahan. Nak buat macam mana, sabarkan ajalah. Belum lagi rumah-rumah orang lain yang terlibat masalah akibat dari kilang dan kawasan penternakan atau ladang yang menyebarkan bau dan habuk yang memudaratkan kesihatan.

Saya sangat terganggu dek asap pembakaran yang dibuat secara terbuka. Kalau bukan waktu pagi, waktu bila lagi mereka nak membakarkan. Waktu petang? Malam? Waktu mana sekalipun pasti mengganggu juga, kerana bukan suatu yang sihat kalau terpaksa menyedut asap. Sabar ajalah, tutup tingkap dan buka kipas kuat-kuat. Mungkin rumah siapa-siapa yang ada penghawa dingin mereka lebih selesa hidup 'terkurung' macam tu. 

Sabarkan ajalah...

P/S : Dalam rumah saya ialah kawasan larangan perokok merokok :)

Jangan layan nombor ni

Saya memang tak akan angkat panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali. Tapi baru-baru ni telefon saya rosak. Banyak nombor yang hilang. Jadi, orang dikenali menelefon pun namanya tidak akan keluar. Saya memikir panjang sama ada nak tekan butang terima atau cancel. Malas melayan panggilan yang berbentuk perniagaan - memujuk kita terima/beli produk/perkhidmatan yang ditawarkan. Ya, ya, ya, itu memang tugas mereka. Dan, hak saya pula untuk tidak mahu melayannya!

Semalam saya terima panggilan masuk dari nombor 03 20544670. Panggilan dibuat sudah lewat petang, iaitu hampir 7 malam. Mulanya saya fikir apa salahnya jika saya terima kerana sudah habis waktu kerja. Disebabkan lama berfikir, panggilan tersebut terputus. Saya langsung meng'google' nombor tersebut di Internet. Guesss what...
Klik untuk besarkan imej

Nasib aku tak angkat!

Bukan niat memburuk-burukkan pemanggil dari nombor berkenaan. Cuma berhati-hatilah. Sekiranya korang betul-betul hendak membeli insurans, buat urusan kad kredit, pergi melancong, membuat pelaburan dll silalah pergi sendiri ke syarikat/outlet/agen sah yang berkenaan. Jangan main cakap dalam telefon. Bersemuka lebih baik supaya kita dapat melihat sebarang dokumen/produk/broucher/muka agen tersebut.


Kes culik di Sabah VS kes culik oleh makhluk halus Villa Nabila

Minggu lalu orang sibuk bercerita tentang teguran Dato' CT terhadap Khairi Jamaluddin.  Isu dalaman FAM yang turut masuk campur tangan oleh penyanyi wanita no.1 dan menteri Belia dan Sukan itu mewujudkan kumpulan-kumpulan yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan isu terbabit. 

Sampai ada yang tak sedar, minggu lalu juga terjadi satu kes culik seorang wanita warga Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna Sabah. Dalam kejadian berkenaan, suami wanita berkenaan telah dibunuh. Pihak polis masih lagi menyiasat dalang terbabit dan siasatan menyeluruh telah dilakukan termasuk melibatkan pihak di negara Taiwan. Puak Abu Sayyaf dikaitkan sebagai penculik.

Pada masa baru hendak memberi perhatian pada kes ini, sekali lagi perhatian rakyat Malaysia tertumpu kepada suatu kejadian culik lain. Malah lebih hangat dan luar biasa. Sekumpulan remaja yang terpengaruh dengan filem Highland Tower aktiviti paranormal, bertindak untuk melakukan tinjauan sendiri di lokasi yang dikatakan menjadi tumpuan makhluk halus. Pada suatu malam, kumpulan remaja terbabit masuk ke rumah rumah tinggal yang bernama Villa Nabila Huda. Setelah masuk, berlaku kejadi histeria terhadap remaja perempuan. Setelah keluar dari Villa Nabila, mereka kehilangan jejak seorang daripada mereka. Laporan polis kemudian dibuat, tapi hebohlah satu Malaysia kononnya remaja itu ghaib di villa berhantu. Makhluk halus menjadi suspek utama. 


Alhaamdulillah, remaja 'diculik hantu' itu sudah kembali ke pangkuan keluarganya. usahlah menunding jari salah siapa-siapa di dalam kejadian ini. Remaja bernama Izzat itu juga tidak menyangka tindakannya bermalam di rumah kawan menyebabkan dirinya menjadi 'popular' dalam satu hari. Nasib baik dia tidak betul-betul diculik oleh makhluk halus. Jika tidak, bukan senang kita hendak menjumpainya semula.

Semua pihak harus menjadikan kejadian ini sebagai satu teladan. Jangan mudah sangat percaya kepada benda ghaib. Sampai jem jalan di Danga Bay disebabkan sekalian penduduk Johor/luar Johor hendak bertumpu di Villa Nabila. Kepada ibu bapa, kita harus lebih memantau tingkah laku anak-anak remaja. Jangan biarkan mereka berkeliaran di waktu malam lebih daripada waktu sepatutnya. Media massa/sosial juga mensensasikan cerita ini. Kita pula percaya! Maka salahkan diri sendiri jika telah terpedaya dengan khabar angin yang bertebaran itu. 

Mari kita kembali kepada kes culik yang benar-benar real dan terjadinya di Sabah. Seorang warga emas dari Taiwan telah diculik dan suaminya dibunuh. Mari kita doakan semoga beliau selamat dan akan kembali ke pangkuan keluarganya secepat mungkin. Bagi orang awam yang punya maklumat sila salurkan kepada pihak polis untuk membantu.
Ahli Keluarga Mangsa Culik, Bunuh Di Semporna Tiba Di Sabah
PETALING JAYA: Ahli keluarga mangsa culik dari Taiwan, Chang An Wei dan suami beliau yang dibunuh Hsu Min Li telah tiba di Sabah.
Abang An Wei, Chang Da Gong Hsu dan abang Min Li, Hsu Li Ren dan dua anak saudara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira pukul 11.30 pagi Selasa.
Mereka bertemu dengan wakil-wakil dari Malaysia dan Taiwan dan kini terbang ke Tawau.
Kumpulan ini datang dengan bagasi minimum dan kelihatan muram. [Berita penuh]

Villa Nabila: Budak 'kena sorok' dah jumpa pun

Berita terikini tak rasmi - Dah jumpa pun.

Apapun tunggu laporan rasmi dari pihak polis ye...


Kemain lagi sensasi berita remaja hilang di Villa Nabila.

Villa Nabila: Hanya seorang gagal pulang
Peristiwa pelik ini dikaitkan dengan fenomena paranormal di kediaman dikenali Villa Nabila.

Ia sudah menjadi viral di laman sosial dalam pelbagai versi, sekali gus mengundang rasa ingin tahu dalam kalangan penduduk sekitar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh, bagaimanapun, menafikan dakwaan kehilangan sekumpulan remaja berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 39 tahun dari Majidee, di sini, yang mengatakan anaknya gagal pulang ke rumah, sejak Sabtu lalu.

Menurutnya, pengadu itu menyatakan pada Sabtu lalu, jam 3.30 petang, anak lelakinya, Mohamad Izzat Izzudin Hussin, 16, keluar bersama rakan ke bandar raya ini.

Kemain ramai orang menyerbu Danga Bay.

Rupa-rupanya, budak Izzat tu 'menyorok' kat lain...

Lain kali hati-hati menyebar berita.

Lain kali jangan mudah terpedaya.

Walaupun faktanya, makhluk halus itu benar-benar wujud. Tapi tak sesuka hati hendak menyorok orang. Gelak dalam hati.
Pengasas Pusat Rawatan Islam At Tobibi Nilai, Datuk Shamsuri Shafie berkata, mangsa berkemungkinan disembunyikan makhluk halus yang menghuni villa itu.

“Kebiasaannya rumah yang sudah lama ditinggalkan akan dihuni jin dan syaitan. Sekiranya benar mangsa pernah memasuki villa tersebut, tidak mustahil dia kini disorokkan makhluk ghaib.

“Mangsa tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi dia boleh melihat orang di sekelilingnya. Kita kena percaya benda ini boleh berlaku kerana kewujudan alam ghaib sememangnya sudah dijelaskan al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. [berita penuh]


Obesiti itu satu penyakit?

Insaf sekejap bila baca berita ini.

Yang kita tahu obesiti punca segala penyakit. Kenapa pula, obesiti itu sendiri ialah penyakit?

Sharing is caring.

Baca ini...

Sumber.
Obesiti Kini Masalah Besar Di Malaysia
Malaysia menduduki tempat keenam di rantau Asia Pasifik bagi masalah obesiti dan mendahului senarai di Asia Tenggara untuk kedua-duanya; obesiti dan kencing manis. -foto AFP
PETALING JAYA: Obesiti perlu ditonjolkan sebagai satu penyakit bagi menunjukkan betapa ia boleh membahayakan kesihatan seseorang.
Dua persatuan kesihatan mahu kerajaan melakukan sesuatu bagi mewujudkan kesedaran awam berhubung perkara ini.
Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia Prof Dr Mohd Ismail Noor berkata situasi masa kini menunjukkan bahawa langkah perlu dimulakan segera kerana terdapat juga kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan.
"Mereka tidak menyedari bahawa ia (obesiti) adalah penyakit. Jadi, tiada siapa peduli dan berfikir bahawa gemuk itu OK. Apabila kita menganggapnya sebagai satu penyakit, ia akan menyedarkan orang ramai," katanya.
Beliau berkata obesiti merupakan faktor asas bagi penyakit kronik seperti kencing manis.

Badan naik

Semasa menghantar anak menunggu van sekolah, seseorang memanggil saya dari belakang.

Saya menoleh. Owwh, Kak Su rupanya. Lama tak jumpa.

"Tulah, nak panggil tadi takut salah orang. Panggil jugaklah..."kata Kak Su.

"Perasan tak badan awak ni dah naik, kan?" Amekkaw, soalan cepun emas di pagi hari.

"Aahlah, Kak Su," Saya iyakan jelah. Takkan kata tidak kalau timbang jarum penimbang makin ke kanankan. Langsung Kak Su bercerita dia berjaya mengurangkan berat badan.

"Akak dah 3 bulan tak makan nasi. Tengah hari akak makan sayur, sup dan ikan panggang je."

Wah kagum saya pada Melayu tipika yang berjaya menukar menu hariannya tanpa nasi. Tak tahu lah kenapa diri ini tak boleh. Bukan sebab tak kenyang-kenyang, tapi tangan akan menggigil...hehe

Konvo

Malam tadi abah telefon saya.

"Awak tak pergi ke konvo anak saudara awak?"

Hah??? Anak saudara mana pulak yang saya ada nak berkonvo bagai...

???
???

Abah gelak.

"Siapa lagi, Muhammad Aqil la..."

Saya gelak. Kami gelak.

Ingatkan konvo siapa tadi. Ia adalah majlis penyampaian hadiah aka hari anugerah aka konsert akhir tahun. Budak tadika pun kemain grand majlis akhir tahun sekolah. Sebut 'konvo' lagi. Haha..

Aqil anak saudara saya baru je berumur 3 tahun. Belajar di tadika-playschool. Pakai baju pinky lagi:)

\


Abah saya teruja kerana Aqil cucunya yang paling lama duduk dengannya di kampung. Saya bagi tahu abah saya tak dapat pergi kerana esok nak bawa Salahuddin duduk ujian diagnostik kemasukkan darjah 1. Adik saya yang lain akan pergi ke konvo Aqil. Haa, nasib baik tak de rombongan mak engku sekeluarga ke konvo tadika.

Kantoi

Anakku hendak bersolat. Umurnya 6 tahun.

'Ambil wuduk dulu', pesan saya. Dia berhenti bermain komputer lalu masuk ke toilet.

Dia masuk bilik solat. Selepas takbir, saya terdengar bunyi ....poot!


Saya kalih kepala ke arahnya. Boleh pulak dia senyum kepada saya semasa tengah solat. Kantoi!!!

Dia faham makna pandangan saya - kena ambil wuduk semula!

Kalau ibu tak nampak, sah dia teruskan sahaja solat sampai habis.  Sudah berulang kali saya berpesan, 'Solat betul-betul. Ibu tak nampak, tapi ALLAH nampak'.

Bukan senang nak mendidik anak-anak. Lebih-lebih kalau anak-anak 'menurun' perangai kita dahulu.

Sabar jelah...

Yang boring, yang tak boring

Tak pernah tonton drama Diandra. Malam  ni episod akhir. Tertengoklah sikit tadi sebab nak tahu endingnya. Sangat boring....tak sabar nak tunggu tamat.


Mungkin jiwa saya sudah tak sesuai dengan drama romantika dengan ayat jiwang yang sudah kedengaran sengal di telinga... Tua sangatkah saya? lalu tukar channel, menonton 7th Grade Civil Sevant....Boleh pulak saya senyum- senyum dan tergelak sorang-sorang...

Musim Anugerah

PEPERIKSAAN akhir tahun di sekolah dah habis, sampai masa keputusan pula diumumkan. Kemudian sekolah akan mengadakan hari anugerah untuk pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka. Setakat hari ini anak-anak saya belum ada rezeki memanjat tangga pentas Hari Anugerah untuk mendapat hadiah. 
Memang besar harapan ibu bapa melihat anak-anak berjaya. Namun kita tidak boleh meletakkan syarat kejayaan itu ialah apabila kamu menang anugerah dan berapa kali kamu mendapatnya. Anak-anak ke sekolah untuk belajar. Mereka bukan artis yang mengukur kejayaan bidang nyanyian dan lakonan berdasarkan jumlah trofi yang dimenangi. Maka, walaupun tidak berjaya, anak-anak masih ada ruang untuk belajar lebih rajin dan terus berusaha sehingga ke peringkat tertinggi.

Saya pernah menampal keputusan peperiksaan anak-anak yang cemerlang di media sosial. Walaupun tidak layak ke pentas anugerah, mereka tetap cemerlang di mata saya sebagai ibu yang banyak mendorong dan membebel supaya mereka rajin belajar. Jadi saya gembira untuk berkongsi rasa kebahagiaan itu. Namun, suami saya menegur dan meminta supaya saya membuang tampalan gambar-gambar tersebut. Untuk apa katanya? Menunjuk-nunjuk? Kecil hati saya masa itu. Dia asyik bekerja di luar, manalah tahu susah payah saya mengajar dan memotivasikan anak-anak di rumah. 

DI SEBALIK pandangan seorang ayah dan kebanggaan seorang itu, ada pro dan kontra di situ. Suami saya memberitahu supaya jangan menekan aspek peperiksaan kepada anak-anak. Kalau anak tak lulus peperiksaan hari ini, jangan anggap seolah-olah nanti gelaplah masa depannya. Jangan ukur nilai kualiti anak dengan peperiksaan. Banyak cabang lain yang mesti kita ketengahkan selain peperiksaan. Jika belajar semata-mata untuk peperiksaan, maka hilanglah kualiti ilmu yang dipelajari. Saya terdiam.