Pantun Aidil Fitri Untuk semua


Bahulu dan bangkit kuih tradisi
Lemang dimakan bersama rendang
Aidil Fitri datang setahun sekali
Moga berjumpa Ramadhan akan datang..

Dendang perantau lagu pilihan
Dedikasi untuk semua rakan
Zakat fitrah sudahkah dilunaskan?
Beroleh pahala juga keberkatan

Miskin dan kaya sama bergembira
Aidil Fitri disambut ceria
Makan dan minum berpada-pada
Barulah kesihatan baik sentiasa

Hari raya balik ke kampung
Di jalan raya berhati-hati
Duit raye anak penuhnya setabung
Jangan pula minta dikongsi

Baju raya berwarna warni
Sama-sama beraya sakan
Jari kususun salam diberi
Maaf zahir dan batin saya pohonkan

Rumah terbuka di sana sini
Jemput datang janganlah segan
Habis raya bertemu kembali
Puasa enam kita laksanakan.....

Ibu bapa kena terus terang dengan anak

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Elak menipu jika tidak tahu jawab soalan

  • Kebenaran
Apa yang diberitahu kepada anak mestilah perkara yang benar. Ibu bapa jangan menipu anak. Jika ibu bapa tidak tahu jawapan kepada persoalan yang diajukan anak, beritahu mereka bahawa kita tidak tahu dan mengajak mereka mencari jawapannya. Jika ada perkara yang mungkin sukar bagi kita menjawab sendiri oleh sebab-sebab tertentu, minta bantuan daripada orang lain dan beritahu anak perkara sebenar.
  • Bercakap terus terang dan tepat
Apabila kita bercakap dengan anak, kita mesti menggunakan bahasa yang senang dan cakap terus terang serta tidak berbelit-belit. Kadangkala kita terpaksa memberikan satu-satu jawapan kerana tidak ada masa memikirkannya dan terpaksa membuat satu keputusan yang mengelirukan. Contohnya, anak meminta kebenaran bermain di luar tetapi hari panas, kita terus menjawab , "tidak boleh nanti dikejar anjing". Sepatutnya kita beritahu terus bahawa "tidak boleh hari panas" dan beritahu bahawa nanti akan menyebabkan mereka (anak) sakit.
  • Sentiasa konsisten dan tepat
Apa saja yang kita terangkan kepada anak-anak atau mengajar mereka, mestilah dilakukan dengan konsisten dan tepat. Pembaharuan boleh diterima oleh anak-anak tetapi jangan membuat pembaharuan tanpa sebab yang munasabah atau tidak jelas.
  • Rangsangan
Keupayaan adalah asas membina semangat kepada anak-anak manakala kegagalan asas lemah dan boleh mematahkan semangat
  • Harapan
Wujudkan perasaan positif dan tanamkan perasaan harapan yang tinggi dan jangan berputus harapan kepada anak-anak.
  • Berulang-kali
Anak-anak suka sesuatu yang berulang-ulang. Jika sesuatu itu dilakukan berulang-kali, maka lebih kuatlah pembentukan rangkaian di dalam otak mereka. Namun, elakkan perkara berulang atau pengalaman negatif terhadap anak-anak.
  • Jangkaan
Ajar anak supaya boleh membuat penentuan atau ramalan atas sesuatu yang terjadi atau apa yang bakal berlaku. Jika membuat sesuatu dengan anak berhenti sebelum anak masih minat dan seronok.
  • Disiplin/ Undang-undang
Anak tidak boleh dipukul, dicubit atau ditengking. Cara kita mendisiplinkan mereka mestilah diasaskan kepada: maruah yang tinggi, ilmu dan kefahamannya, wujudkan peraturan, terang dan tunjukkan cara, buat sebagai amalan dan menjadi contoh teladan

  • Kegembiraan
Dilakukan dengan penuh kemesraan dan kegembiraan. Perasaan gembira boleh mewujudkan keselesaan diri yang menyebabkan anak sentiasa riang. Perkataan yang digunakan, lagu-lagu pantun mestilah mewujudkan perasaan gembira. Elakkan perasaan sedih, sayu, pilu merendahkan anak, menghina manusia dan perkara negatif lain. Berikan anak-anak ilmu yang banyak, menjaga diri dan membina kemampuan melakukan banyak perkara yang berguna.
  • Kecewa
Anak perlu mengalami kekecewaan dalam hidupnya. Kehilangan barang yang disayanginya, perpisahan ibu bapa, kematian dan sebagainya adalah kekecewaan yang akan dihadapi anak-anak. Semuanya mesti dijelaskan kepada anak secara benar dan bantulah anak mengatasi kekecewaan itu.
  • Teladan
Teladan daripada ibu bapa dan orang lain dalam hidupnya adalah pengajaran yang paling efektif. Teladan yang baik akan meningkatkan ciri yang baik. Teladan yang buruk merosakkan amalan hidup dan kewibawaan anak.
  • Konsep Downshifting (merendah-rendahkan atau menurunkan semangat anak)
Jangan pukul, cubit dan menghina anak. Elakkan mencari salah, membeza-bezakan anak-anak, menyebut jangan, tidak boleh tanpa sebab dan keterangan dan jangan menggunakan amaran yang marah tanpa sebab serta keterangan kukuh.
  • Konsep Expansion vs Replacement (Pengembangan lawan Pengambilalihan)

  • Membina keyakinan diri, maruah dan jati diri

Sumber:

Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Datuk Dr Noor Laily Abu Bakar, Bengkel Hak Perlindungan dan Keselamatan Diri Kanak-kanak anjuran Institut Kefahaman Islam (Ikim).

Jalan-jalan hujung minggu - MAHA'08


MAHA 2008

Rodeo Malaysia

Menaiki tren mengelilingi expo

Ini lah cucu-cucu ku.....


Si kembar Amsyar dan Amzar ialah cucu sulung. Ayahnya anak sedara saya, anak sepupu saya
Kak Long Rubiah (cucu sulung wan sebelah abah). Yang no 3 ni pula Adam Helmi,emaknya anak
sedara saya. Diorag ni sepupu....terasa tua pulak bila ada orang panggil kita wan / nenek...iskkk!! tapi nasib budak2 ni tak pandai cakap lagi..hahahha

Wajib mengganti (qada') sembahyang kerana haid??

Di sini saya ingin berkongsi satu posting dari sebuah forum yang saya singgah. Mungkin anda juga pernah membacanya kerana ia turut dimuatkan di beberapa laman blog/web. Jika anda tahu pendapat ulamak selainnya sila kita kongsikan bersama supaya dapat disebarkan untuk kebaikan para muslimah yang tidak mengetahuinya....

"Kebanyakkan perempuan/wanita/muslimah (wanita Islam) tak berapa perasan ATAU lebih malang lagi jika memang tak tahu menahu akan perkara ini... Ilmu Fekah, khususnya bab haid yang berkaitan dengan diri wanita itu sendiri amat kurang dikuasai atau difahami secara menyeluruh oleh kebanyakkan wanita Islam...kenapa hal ini boleh terjadi??

Amat susah untuk mencari seorang guru/ustazah/...yang betul-betul pakar dalam bab 'Orang-orang Perempuan ini' kecuali terpaksa@mesti dirujuk kepada lelaki/ustaz-ustaz yang bernama LELAKI jugak...(saya rasa ramai yang bersetuju dengan pandangan saya ini) Contohnya yang paling simple ; bila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam ; "adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqhada'kan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?" pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan:"alaa...itu soalan mudah jee..bila 'datang period' maka solat tuu tak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa jee..itulah yang kami belajar sejak mula-mula 'bergelar wanita' dulu.

Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa...Sebenarnya TAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun.Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur. Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama' terdahulu.


Dalam BAB TIGA : " Fi adab Mua'sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah..." perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut : PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID: Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid:

1. Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asar sebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar.

2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'.

" Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)

HURAIAN MASALAH :
1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor?
- Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar, maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas)

2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama?

- Kerana di dalam hukum menjama' (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama' dan diqosarkan bersama solat Zohor.

- Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat ( menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor.

3. Dalam perkara solat subuh pun sama :

- perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh, kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya' sebab darahnya kering masih dalam waktu Isya'.

- Solat Isya' juga boleh dijama' (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib.

- Di atas kecuainnya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku)-maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu di qadha juga solat maghribnya.


Sila rujuk : Kitab Ihya' Ulumuddin (Jilid ke 2) cetakan Darul Nahwan Nil / Darul Haram Lil Turath, Kaherah.

Diharapkan tulisan ini memberi kesedaran kepada seluruh yang bergelar Muslimah untuk lebih mendalami diri mereka dengan ilmu 'Fiqhul Nisa' ini yang berkaitan dengan diri mereka sendiri!!!

Harap maklum.....Rasa-rasa macam banyak yang saya terlepas pandang. Sama-sama kita menambah pengetahuan.

Bintang 12

Setiap hari Ahad malam Isnin TV9 akan menayangkan secara langsung program keagamaan berbentuk perbincangan bertajuk Halaqah. Kalau di TV3 racangan sepertinya ialah Al Kuliyyah dan di RTM Ehwal Islam....

Apa yang saya nak ceritakan ialah pada minggu yang lalu, topik yang dibincangkan ialah 'Bintang 12' dengan panel jemputan ialah Ustaz Badlisyah (bekas senior kolej) dan Ustazah Nik Salida. Perbincangan ini amat menarik dan saya pasti ramai yang tidak sedar tentang hukum melihat ramalan bintang. Saya yakin ramai yang tahu adalah haram mempercayai ramalan bintang.Tetapi ramai yang tidak faham dan menyedari (termasuk saya juga) bahawa melihat, membaca dan berminat nak tahu secara suka-suka pun sudah dikira berdosa. Bukan sahaja mendapat dosa,bahkan solat kita tidak akan diterima oleh Allah selama 40 hari. Sudahlah solat yang dikerjakan selama ini tidak pasti kesempurnaannya malah tanpa sedar ia sudah tidak diterima oleh Allah.

Jangan pula disebabkan setelah membaca ramalan bintang ini dan mengetahui solat tidak diterima maka kita terus meninggalkan solat selama 40 hari. Perlu difahami bahawa dua perkara ni(1.solat tidak diterima dan 2.meninggalkan solat) ialah dua perkara yang berbeza dan dengan meninggalkan solat, kita akan dihadapkan dengan dosa yang lain pula.

Saya masih ingat pada masa lalu (zaman muda-muda dulu), bersama kawan-kawan selalu cuba menilik nasib masing-masing. Konon sekadar suka-suka dan main-main sahaja. Kami akan menilik kononya siapa bakal suami, pada umur berapa akan berkahwin, berapa bilangan orang anak dan sebagainya. Cara yang digunakan sama ada melihat tapak tangan, menggunakan cincin emas yang digayutkan pada rambut dll. Orang yang menjadi penilik pula adalah terdiri dari kawan-kawan yang kononnya belajar dari orang-orang yang ada ilmu atau 'pandai tengok'. Saya pun tak pernah persoalkan semua ini kerana masing-masing melakukannya secara suka-suka tetapi apa yang bahaya apabila ia kebetulan menepati ramalan.

Kepada kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang membaca tulisan ini dan bersama-sama lah kita bertaubat dan meninggal perkara yang boleh membawa kita kepada kufur kepada Allah. Sentiasalah kita meningkatkan kefahaman kita tentang agama dengan membaca, mendengar ceramah atau belajar kepada guru yang berkelayakan. Jika ingin mengetahui lebih lanjut mengenai persoalan zodiak boleh layari

http://muslimah.or.id/aqidah/mari-sejenak-berbicara-tentang-zodiak.html

atau bertanyalah kepada ustaz/ustazah/ulama' yang anda ketahui alim (banyak ilmu).

Aktiviti Hujung Minggu #5

Taman Tasik Perdana (malam)
Suatu yang menarik di taman ini kerana ia dibuka sehingga malam. Ini membolehkan kami membawa anak-anak bermain di sebelah malam jika tidak berpeluang melakukannya di siang hari.Walaupun tidak ramai pengunjung seperti di sebelah siang, namun kanak-kanak masih dapat menikmati keseronokan bermain.

Lampu yang dipasang menyinari suasana taman membuatkan kita terasa selamat,namun begitu keselamatan anak-anak mesti tetap dijaga dengan mengawasi mereka sepanjang bermain.

Perutusan Raja Sehari dari Alynn


Akhirnya kad yang ditunggu selama ini tiba juga di peti surat rumahku. Kawanku Alynn bakal naik pelamin juga akhirnya. Teringat zaman belajar dulu. Kisah cintanya agak complicated. Alhamdulillah akhirnya bertemu juga Mr.Right untuk menjadi teman hidup.Tahniah Alynn! kalau hubby aku ada kelapangan Insya Allah aku datang. Pergi sebelah lelaki boleh?? dekat sikit lah...hehehe

**Gambar atas: Alynn konvo UUM 2002. Itulah hari terakhir pertemuan kami. Kak Intan(kiri sekali) dan Chieku(sebelah aku) pun dah lama tak ketemu. Cuma sms, itu pon jarang sangat! Rindu korang...


NOTA: sorry sangat-sangat sebab tak dapat hadir hari berbahagia kau Alynn...moga berkekalan ke akhir hayat....

Friendster oh Friendster!

Baru-baru ini adik ipar saya, Soleh melalui emelnya telah menjemput saya memasuki senarai sahabatnya di friendster.com. Alang-alang saya mendaftar dan teruslah upload beberapa keping gambar anak-anak. Tak sangka kemudian seorang sahabat lama, Nuraszita menghantar emel untuk menjemput saya memasuki senarai sahabatnya pula.Rupa-rupanya melalui friendster saya telah dipertemukan semula sahabat-sahabat lama yang memang lama benar tidak bertemu dan berhubung.Sekadar menyebut beberapa nama: Lala, Su, Angah, Elly, Liza,Mc Ja, Linda, Shahrir, dan beberapa orang kenalan lain yang tidak berapa rapat.

Sejak grad kolej,U dan habis persekolahan masing-masing meneruskan perjuangan sama ada dalam pelajaran atau karier masing-masing.Saya dapat melihat sesetengah daripada mereka telah berjaya meraih kejayaan di menara gading dan mengecap kebahagiaan bersama suami dan anak-anak. Alhamdulillah hati saya turut sama tumpang gembira di atas kebahagiaan mereka.Semoga Allah memberikan kita nikmat kebahagiaan ini bersama redha-Nya dan berkekalan dunia hingga ke akhirat. Amin....