Tahun baru baby baru!

Memang dah plan dengan hubby nak tambah anak lagi tahun baru ni. Alhamdulillah, masuk Januari je aku dah start morning sickness. Mula tu tak sangka juga lah sebab period memang selalu datang lewat. Kadang sampai sebulan lebih lambatnya. Nasib baik ada rasa-rasa mual dan tak berminat dengan bau masakan serta bau perfume membuat rasa ragu-ragu dan akhirnya melakukan test sendiri di rumah. Alhamdulillah positif! Selepas tu baru berjumpa doktor di klinik untuk memastikan kandungan itu benar-benar wujud atau sebaliknya..Hasil scan doktor mengesahkan baby betul-betul berada di dalam rahim...Due pada 18 September 2009...eemm bulan puasa tu. Beberapa hari nak menjelang Aidil Fitri. Semoga semuanya akan berjalan lancar seperti sebelumnya...doakan sama ye...

Aktiviti Hujung Minggu # 6



Pemandangan-pemandangan ini saya petik di Taman Metropolitan Kepong...Biasanya anak-anak suka bermain layang-layang, tapi, pada hari itu mereka hanya bermain di taman dan kemudian menaiki tren..Memang seronok!









Sajak dari Khadijah Hashim

Dalam saya memikirkan soal hutang PTPTN, badan makin gemuk dan sebagainya, kali ini saya ingin berkongsi seuntai puisi yang begitu menarik hasil karya Khadijah Hashim. Masa sekarang masyarakat sibuk bercerita tentang harga barangan yang tak turun-turun walaupun harga minyak sudah diturunkan beberapa kali. Saya juga tertanya-tanya bilakah tambang van sekolah anak hendak turun kerana semasa harga minyak naik, tambang dinaikkan sebanyak RM5. Walaupun angka 5 nampak tidak begitu besar tapi bagi yang kurang berkemampuan dan mempunyai banyak tanggungan, nilai 5 sen pun akan memberi impak yang besar. Mari kita renung bersama puisi ini....

Sepinggan Nasi Yang Sedap ~ Khadijah Hashim
Akal pintar memilih yang terbaik
andai terpilih mempelam berulat
kuterima takdir yang tersurat
reda menerima badai dan taufan
terus berikhtiar mensyukuri kehidupan
insaf akan balasan dan ujian Tuhan.

Tiada niat menongkah kebiasaan
kuturuti saja gerak arus fitrah alam
seperti menjemur pada kala hari panas
menadah air pada waktu hujan
bertukang setelah lengkap perkakas
memasak apabila cukup bahan.

Kubangga pada kebijaksanaan
mencanang wawasan jauh ke desa
aura penemuan baru biar banjir ilmu
melimpah ruah sampai ke tangga rumah
lalu terbuka pintu hati
berkongsi idea untuk hidup bererti
seperti sepinggan nasi yang sedap
biar habis dimakan bukan dibuang.

Khadijah Hashim
TTDI, Kuala Lumpur
Mei 1, 2007

Kalau kita di kampung dan menternak ayam itik, lebihan makanan boleh lah diberikan kepada ayam, itik atau kucing peliharaan. Bagi kita yang hidup tanpa ternakan di bandar ini, makanan yang berlebihan akan terus ke tong sampah. Nak bagi pada kucing pon, mereka tak mau sebab friskis lagi best. Terasa macam membazir pulak kan...

"Kenapa Malas?" - oleh Jiwa Rasa

Mengapa orang Malaysia kurang membaca? Itu pertanyaan saya kepada Pak Jawahir, orang kuat Alam Raya, kedai buku di Jalan Pahang Barat, KL, yang banyak mengedarkan buku-buku dan majalah dari Indonesia.

Saya terkejut melihat macam-macam jenis buku dari Indonesia yang dijual di kedai Alam Raya milik beliau. Kami berbincang banyak tentang tabiat membaca kedua-dua di Indonesia dan di Malaysia. Di Indonesia, aktiviti terjemahan sangat rancak. Berbagai-bagai genre buku yang telah diterjemahkan dari berbagai bahasa ke Bahasa Melayu Indonesia. Perbincangan dan perdebatan khalayak di Indonesia juga bercabang banyak. Adakalanya terlalu kompleks sehingga boleh memeningkan kepala orang luar yang mahu membuat kajian. Pemikiran Islam di Indonesia sebagai contoh telah melahirkan bermacam-macam aliran pemikiran yang rencam.Kata Pak Jawahir, di Indonseia, berkhutbah sewaktu Solat Jumaat adalah perkara biasa bagi semua orang. Saintis biasa berkhutbah di sana, dan isi khutbahnya bukan tentang isu-isu biasa seperti di sini. Khatib di sana berkhutbah tentang dunia sains, penemuan sains dan wahyu, mengkaji Sains dan hubungannya dengan Al-Qur’an.

Khatib di Malaysia tidak berkhutbah, tetapi membaca teks khutbah. Tanpa teks tidak ramai yang boleh berdiri tegak tanpa lutut menggeletar dan berpeluh dingin di mimbar. Isu yang dibincangkan pun isu-isu ringan. Isu-isu yang selamat yang tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa walaupun orang yang memang sepatutnya disinggung.

Teks khutbah di Malaysia menepati syarat resepi untuk mendodoi jemaah pendengar untuk tidur.Bukan sahaja khutbah, perbicangan khalayak di Malaysia juga berkisar benda-benda ringan. Isu-isu yang dibincang adalah isu-isu pop dan ringan. Tengok sahaja kandungan perbincangan di internet. Tengoklah kandungan blog-blog penulis berbahasa Melayu di internet. Ya, memang bilangan blog berbahasa Melayu sudah meningkat. Namun berapa banyak yang punya kandungan yang bagus? Berapa banyak pula yang menulis menggunakan bahasa yang baik?Berapa banyak blog yang menulis dengan bahasa yang hodoh, dan mereka ini bukan lulusan sekolah atap. Sekurang-kurangnya ada SPM. Lulusan universiti, ada ijazah malah ada yang punya doktor falsafah, tetapi blognya langsung tidak membawa manfaat kepada pembaca. Berapa banyak blog pemegang ijazah yang hanya menulis tentang berapa kali makan dan berak dalam satu hari. Berapa banyak blog yang tuannya punya sarjana tetapi tidak boleh ditumpang kesarjanaannya. Tidak ada langsung tulisan yang boleh diambil manfaat. Tidak ada langsung hasrat mahu memandaikan bangsa. Bahasanya hodoh, sekerat bahasa ibunda sekerat bahasa asing, sekerat putih sekerat hitam macam panda. Bahasa utamanya bahasa pasar dan bahasa sms, dan mereka semua ada sijil!

Blog orang kita dalam bahasa Inggeris pun boleh dikira yang betul-betul bermanfaat. Lebih banyak mencarut dari yang bercerita menyampaikan ilmu.Itulah realiti masyarakat kita. Masyarakat yang malas membaca. Malas berfikir. Zaman berfikir berhenti sejurus keluar dari dewan peperiksan di hari terakhir di universiti. Segulung ijazah jadi lesen untuk berhenti membaca. Kenapa orang Malaysia malas membaca? Kenapa orang Malaysia malas berfikir?` Mungkin kerana orang Malaysia sudah hidup senang, sudah hidup mewah. Kesenangan hidup sudah tidak memerlukan orang membaca lagi. Apa guna membaca dan berfikir yang berat-berat, kerana sudah ada segala-galanya. Ada rumah besar, kereta besar. Apa guna lagi pening kepala berfikir benda yang berat-berat?’ kata Pak Jawahir.Tanpa sedar saya mengangguk setuju dengan Pak Jawahir.

Perut yang kenyang rupanya membawa bencana kemusnahan buat peradaban manusia. Perut kenyang buat manusia berhenti berfikir. Ramai yang dulunya berjuang, berhenti berjuang kerana takutkan perut tak terisi. Ramai yang berhenti berjuang kerana mengejar makanan untuk disumbat ke dalam perut. Orang besar malas membaca, apa lagi orang kecil. Pemimpin malas membaca, apa lagi yang dipimpin.Orang dewasa malas membaca dan berfikir, bagaimana remaja dan kanak-kanak? Lebih teruk lagi, kita malas membaca bahan bacaan serius, kita paksa anak-anak kita membaca bahan bacaan ringan. Mungkin mereka menyangka, jika otak tidak digunakan untuk berfikir, maka nilainya makin bertambah, boleh dijual mahal kerana urat-urat, saraf dan sel otak itu tidak digunakan. Kalau begitu fikir mereka, simpanlah otak itu baik-baik. Sesak-sesak nanti bolehlah dijual...

Sumber :http://jiwarasa.blogspot.com/2008/01/kenapa-malas.html

NOTA: Sungguh sinis penyampaian penulis. Tapi, amat menarik kerana boleh menyedarkan kita takat mana tahap pengetahuan dan pemikiran kita yang bergelar mahasiswa, pelajar cemerlang di kolej pegawai tinggi di sektor awam dan menjawat jawatan dan gaji tinggi di syarikat swasta. Walau kita bagus di mata orang, tapi di depan diri kita sendiri (lihat kat cermin) cuba tanya, betul ke kita ini malas macam yang dikatakan di dalam tulisan di atas? kalau saya, ye kot....sama-sama kita berubah..biar sikit tapi konsisten.

PTPTN.......Oh hutang!!

Baru-baru ini PTPTN akhirnya menurunkan caj perkhidmatannya kepada 1%. Alhamdulillah walaupun ia sepatutnya dijadikan 0%, bagi penganggur seperti saya atau mereka yang bergaji rendah tentunya ia membantu meringankan beban. Semalam saya menyemak baki semasa dan alangkah sedihnya jumlahlah hutang masih belum berkurangan. Selama 2 tahun saya membayar secara konsisten RM100/200 sebulan ianya hanya untuk jumlah caj perkhidmatan tertunggak sejak tahun 2002. Jumlah hutang sebenar RM19,500 menjadi 21,000++. Wow apakah maknanya ini? Itupun macam-macam lagi alasan untuk tidak menjadikan caj sehingga 0%. Malah dengan kadar 1% itupun, bukan semua layak mendapatnya kerana bagi mereka yang liat membayar masih dikenakan caj 3%. Hutang tetap hutang dan wajib dibayar namun adilkah caj masih dikekalkan sebanyak 3%?

Bagi yang berkemampuan tentu akan menggunakan wang sendirii. Namun bagi orang yang susah terpaksa menerima pinjaman untuk meneruskan pelajaran. Walaupun begitu, tindakan peminjam juga tidak patut kerana sudahlah diberi pinjam tetapi tidak mahu membayar. Mereka mungkin bukan tidak mahu membayar hutang, tetapi banyak tanggungan lain. Namun, banyak lagi cara lain untuk mendenda mereka termasuk menyenarai hitam nama atau kenakan tindakan mahkamah.

Saya dikira bertuah kerana suami banyak membantu untuk melunaskan pinjaman setiap bulan. Bukan setakat PTPTN, malah hutang dengan Yayasan Pahang turut dibayarnya. Jika diberi pilihan sudah semestinya dia tidak mahu membayarkan hutang-hutang ini. Bukan sebab tidak mahu menolong isteri tetapi tidak mahu bersubahat dengan RIB*! Terima kasih abang untuk segalanya.....

Kepada sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh melawat laman http://www.ptptn.gov.my/web/guest/anjung untuk mengetahui sebarang maklumat tentang pinjaman anda. Di sana juga para peminjam boleh menyemak secara online baki pinjaman atau tunggakkan yang perlu dijelaskan. Menerusi E-Fes peminjam juga boleh melihat transaksi akaun pinjaman dari tahun ke tahun. AWAS! Bagi yang belum pernah membayar pinjaman, jumlah hutang anda pastinya semakin akan bertambah biak dari bulan ke bulan....Malah, hukuman disenarai hitam juga menanti anda!

Untuk login ke E-Fes, peminjam perlu memasukkan no.ic dan juga no pin yang boleh diperolehi menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS). Sila taip PTPTN NOPIN[JARAK]NOKP dan hantar ke 33199. Caj yang dikenakan bagi setiap SMS ialah sebanyak RM0.50. Perkhidmatan ini beroperasi 24 jam sehari.

Syawal

Alhamdulillah kita masih dalam mood hari raya. Almaklumlah puasa sebulan dan raya pun hendak selama sebulan jugalah. Di mana-mana rumah terbuka masih berlangsung dan pastinya ramai yang akan mengeluh berat badan akan semakin meningkat. Bukan nak mengata orang lain, saya sendiri pun terasa semakin gemuk. Bulan puasa turun sekilo, selepas raya naik 3 kilo.Emm...bukan tak cuba nak menahan selera tetapi, bila dah makan macam lupa pulak kene berhenti sebelum kenyang.Kadang-kadang bukan lapar sangat pun, cuma nak menghabiskan makanan takut membazir.Apa-apa pun bunyinya macam saja nak bagi alasan.Baru ni dalam tv seorang doktor memberitahu bahawa kalau berat badan meningkat pun pastikan lilitan pinggang (bagi perempuan)mestilah tidak lebih 40cm.Ops tak ukur pun!rasa-rasanya taklah sampai 40cm sebab baju-baju zaman belajar masih boleh dipakai.
Menyebut tentang makan lebih, teringat kata-kata seorang ustazah bahawa di antara tanda/penyebab mati hati ialah banyak buat dosa, banyak bercakap,banyak tidur dan banyak makan!

Laporan PTPTN 1: PTPTN turun kepada 1%. Perlukah mengucapkan tahniah kepada kerajaan?

Isu PTPTN : TAHNIAH KEPADA KERAJAAN? Kadar caj perkhidmatan yang dikenakan oleh kerajaan 1 peratus melihatkan bahawa kerajaan semakin “bijak” dalam merencana keputusan. 1.04 juta peminjam diploma dan ijazah sarjana muda dan 2,473 lagi peminjam dari ijazah sarjana dan kedoktoran pasti menyambut “baik” usaha kerajaan ke arah memajukan pendidikan negara.Jika sebelum ini kadar yang dikenakan PTPTN ialah 4 peratus pada 1997 sebelum ia turunkan kepada 3 peratus dan kini 1 peratus pastinya mengaburi mata pelajar yang merasakan diri mereka sudah terbela.

Kerajaan mungkin berasa dengan penurunan ini mahasiswa akan berpuas hati dan terus menyokong kerajaan. Namun mahasiswa semakin intelek dalam membuat keputusan dan melalui anjakan paradigma yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pejuang memberi impak baru terhadap pemikiran mereka. Pada dasarnya kerajaan perlu melihat bahawa pinjaman kepada pendidikan sebenarnya adalah tidak relevan untuk dikenakan caj perkhidmatan kerana faedah jangka masa panjang yang akan kembali semula kepada negara dalam bentuk tenaga kerja yang kompeten. Siapakah yang akan menjadi pewaris pimpinan negara? Siapakah yang akan memastikan ekonomi dan politik negara sentiasa stabil? Siapakah yang akan merealisasikan visi 2020? Siapakah yang akan membela nasib Malaysia di mata dunia? Tidak lain dan tidak bukan mereka-mereka itu pastinya seorang pelajar pada waktu ini.

Jika pinjaman ini diberi secara qardhul Hassan iaitu pinjaman yang tidak dikenakan apa-apa caj pasti dilihat sebagai satu usaha yang menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin kepada mahasiswa.Di dalam buku Preaching Way: between Leaders and Followers karangan Mustafa Masyur menyatakan beberapa peringatan untuk pimpinan dan satu yang saya mahu ungkapkan di sini ialah “Pimpinan hendaklah bersungguh-sungguh untuk mengangkat tingkat keupayaan mereka yang berada dalam kedudukan barisan “pelapis”, serta melatih mereka dalam bidang tanggungjawab mereka, dengan mengambil faedah dari setiap benda baru yang berguna..”Walaubagaimanapun, keputusan menurunkan kadar caj perkhidmatan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri minggu lalu dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengesahkan ia tidak bertentangan dengan syariah juga masih diragui. Jika merujuk kepada laporan di dada akhbar-akhbar utama contohnya UTUSAN,MFK memberitahu bahawa caj perkhidmatan selama ini yang dikenakan adalah tiada unsur riba’ :“Bagaimanapun, pada 28 Julai lalu, Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan memutuskan caj perkhidmatan itu tidak menyalahi syarak tetapi mahu kadar caj tiga peratus sedia ada diturunkan bagi meringankan beban pelajar.”

Jika kita merujuk kepada blog Mufti Perlis Ustaz Asri, menyatakan:

“Apa yang saya difahamkan, bahawa yang dianggap oleh Jawatankuasa Fatwa sebagai tidak bertentangan dengan syarak adalah kaedah caj baru yang bakal diubah, bukan yang ada sekarang.”Jika begitu ini adalah bercanggah dengan laporan yang dibuat oleh media massa. Di manakah kebenarannya? Atau masih ada pihak yang mahu mengambil kesempatan dari belakang terhadap isu lapuk ini?

Ustaz Zaharuddin mengulas tentang kepincangan yang berlaku ini dalam laman web nya;

“Saya merasakan, jika benarlah wartawan mencatat kenyataan itu dengan tepat, maka apa yang dicatatkan adalah mengelirukan jika dibuat perbandingan dengan kenyataan Mufti Perlis. Selain itu, jika ia kenyataan yang benar, saya kira ia telah membuka aib dan menunjukkan ketidakfahaman mereka yang diberi amanah fatwa tentang isu caj dalam kewangan moden, selain agak ketinggalan dalam menyemak ijtihad dan kajian-kajian terkini Shariah oleh ulama Shariah dan kewangan berwibawa tinggi di seluruh dunia. Wallahu'alam.

Sewajarnya setiap isu kewangan dan Shariah, perlu dibincang bersama dengan Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti. Mereka lebih berautoriti, berpengalaman dan berwibawa dalam hal Shariah dan kewangan. Perlu saya dedahkan di sini, pengalaman saya dan rakan-rakan penasihat Shariah di seluruh dunia. Terdapat antara penasihat Shariah ini yang kerap berhadapan dengan 'permainan', 'helah' dan ayat-ayat mengelirukan dari pihak pengurusan bank, institusi kewangan dan komersial apabila diminta mengesahkan sesuatu produk atau masalah.

Tidak dapat dinafikan sememangnya ada pihak pengurusan yang sengaja berbuat demikian sehingga menyorokkan sebahagian informasi semata-mata untuk mendapat kata 'halal' atau harus' dari pihak Majlis Shariah mereka. “Pada pendapat saya segala permasalahan yang diutarakan dan kepincangan yang berlaku boleh dielakkan dengan pemansuhan terus caj PTPTN ini. Lebih banyak lagi sumber kewangan yang boleh digunakan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan. Kenapa mesti mahasiswa yang menjadi mangsa keadaan? Fikir-fikirkan...Jika anda bukan salah seorang daripada mereka, mungkin perkara yang sama akan berlaku kepada ahli keluarga atau rakan baik anda.

Sumber:
http://ibnuinsan.blogspot.com



Laporan PTPTN 2: Jawapan Mengenai Keputusan Fatwa Kebangsaan Tentang Ptptn

“Banyak pihak menghubungi saya pada hari ini berhubung dengan pengumuman Pengerusi Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang kembali menghalalkan sistem yang digunakan oleh PTPTN dengan menyatakan ia tidak langgar syarak –seperti yang dilaporkan oleh Utusan pada hari ini (29 Julai 2008).

Untuk pengetahuan, saya tidak hadir pada mesyuarat khas pada 28 Julai 2008 tersebut yang kembali membincangkan kedudukan PTPTN, setelah diputus riba oleh Jawatankuasa yang sama di Alor Setar yang saya juga turut hadir. Dalam mesyuarat sebelum ini di Alor Setar pada 6-7 Mei 2008 memang pihak PTPTN juga akur bahawa caj yang dikenakan berdasarkan jumlah pinjaman dan Jawatankuasa sepakat menganggapnya riba.

Cumanya, Pengerusi (yang juga Naib Canselor USIM) agak keberatan mengumumkan keputusan tersebut, sebaliknya hanya menyatakan kepada media bahawa pihak PTPTN dikehendaki mematuhi garis panduan. Saya sendiri semasa mesyuarat mengingatkan diri sendiri dan semua bahawa fatwa hendaklah bebas daripada tuntutan atau kepentingan mana-mana pihak.

Adapun pengumuman beliau tentang keputusan mesyuarat khas terbaru yang memansuhkan keputusan sebelum ini agak mengejutkan. Oleh kerana pada pengalaman yang lepas, Pengerusi Jawatankuasa tersebut juga pernah mengumumkan tentang kehalalan ASB dengan begitu umum tanpa menyebut bahawa keputusan Jawatankuasa –saya juga turut hadir- yang menuntut terlebih dahulu agar pihak berkenaan menubuhkan jawatankuasa syariah. Saya juga telah mengkritik cara pengumuman itu dibuat.

Untuk kali ini, saya mengambil keputusan menghubungi terus Dato’ Pengarah JAKIM untuk mengetahui kedudukan sebenar. Apa yang saya difahamkan, bahawa yang dianggap oleh Jawatankuasa Fatwa sebagai tidak bertentangan dengan syarak adalah kaedah caj baru yang bakal diubah, bukan yang ada sekarang. Jika begitu, ini tentu berbeza dengan pengumuman tersebut.

Berhubung dengan perkara berkaitan, saya sendiri pernah mencadangkan agar Jawatankuasa Fatwa hendaklah menjemput mereka yang mempunyai padangan yang berbeza dalam sesuatu isu agar berbagai-bagai sudut dapat dilihat sebelum fatwa dibuat”.

Sumber:
Minda Tajdid

Pantun Aidil Fitri Untuk semua


Bahulu dan bangkit kuih tradisi
Lemang dimakan bersama rendang
Aidil Fitri datang setahun sekali
Moga berjumpa Ramadhan akan datang..

Dendang perantau lagu pilihan
Dedikasi untuk semua rakan
Zakat fitrah sudahkah dilunaskan?
Beroleh pahala juga keberkatan

Miskin dan kaya sama bergembira
Aidil Fitri disambut ceria
Makan dan minum berpada-pada
Barulah kesihatan baik sentiasa

Hari raya balik ke kampung
Di jalan raya berhati-hati
Duit raye anak penuhnya setabung
Jangan pula minta dikongsi

Baju raya berwarna warni
Sama-sama beraya sakan
Jari kususun salam diberi
Maaf zahir dan batin saya pohonkan

Rumah terbuka di sana sini
Jemput datang janganlah segan
Habis raya bertemu kembali
Puasa enam kita laksanakan.....

Ibu bapa kena terus terang dengan anak

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Elak menipu jika tidak tahu jawab soalan

  • Kebenaran
Apa yang diberitahu kepada anak mestilah perkara yang benar. Ibu bapa jangan menipu anak. Jika ibu bapa tidak tahu jawapan kepada persoalan yang diajukan anak, beritahu mereka bahawa kita tidak tahu dan mengajak mereka mencari jawapannya. Jika ada perkara yang mungkin sukar bagi kita menjawab sendiri oleh sebab-sebab tertentu, minta bantuan daripada orang lain dan beritahu anak perkara sebenar.
  • Bercakap terus terang dan tepat
Apabila kita bercakap dengan anak, kita mesti menggunakan bahasa yang senang dan cakap terus terang serta tidak berbelit-belit. Kadangkala kita terpaksa memberikan satu-satu jawapan kerana tidak ada masa memikirkannya dan terpaksa membuat satu keputusan yang mengelirukan. Contohnya, anak meminta kebenaran bermain di luar tetapi hari panas, kita terus menjawab , "tidak boleh nanti dikejar anjing". Sepatutnya kita beritahu terus bahawa "tidak boleh hari panas" dan beritahu bahawa nanti akan menyebabkan mereka (anak) sakit.
  • Sentiasa konsisten dan tepat
Apa saja yang kita terangkan kepada anak-anak atau mengajar mereka, mestilah dilakukan dengan konsisten dan tepat. Pembaharuan boleh diterima oleh anak-anak tetapi jangan membuat pembaharuan tanpa sebab yang munasabah atau tidak jelas.
  • Rangsangan
Keupayaan adalah asas membina semangat kepada anak-anak manakala kegagalan asas lemah dan boleh mematahkan semangat
  • Harapan
Wujudkan perasaan positif dan tanamkan perasaan harapan yang tinggi dan jangan berputus harapan kepada anak-anak.
  • Berulang-kali
Anak-anak suka sesuatu yang berulang-ulang. Jika sesuatu itu dilakukan berulang-kali, maka lebih kuatlah pembentukan rangkaian di dalam otak mereka. Namun, elakkan perkara berulang atau pengalaman negatif terhadap anak-anak.
  • Jangkaan
Ajar anak supaya boleh membuat penentuan atau ramalan atas sesuatu yang terjadi atau apa yang bakal berlaku. Jika membuat sesuatu dengan anak berhenti sebelum anak masih minat dan seronok.
  • Disiplin/ Undang-undang
Anak tidak boleh dipukul, dicubit atau ditengking. Cara kita mendisiplinkan mereka mestilah diasaskan kepada: maruah yang tinggi, ilmu dan kefahamannya, wujudkan peraturan, terang dan tunjukkan cara, buat sebagai amalan dan menjadi contoh teladan

  • Kegembiraan
Dilakukan dengan penuh kemesraan dan kegembiraan. Perasaan gembira boleh mewujudkan keselesaan diri yang menyebabkan anak sentiasa riang. Perkataan yang digunakan, lagu-lagu pantun mestilah mewujudkan perasaan gembira. Elakkan perasaan sedih, sayu, pilu merendahkan anak, menghina manusia dan perkara negatif lain. Berikan anak-anak ilmu yang banyak, menjaga diri dan membina kemampuan melakukan banyak perkara yang berguna.
  • Kecewa
Anak perlu mengalami kekecewaan dalam hidupnya. Kehilangan barang yang disayanginya, perpisahan ibu bapa, kematian dan sebagainya adalah kekecewaan yang akan dihadapi anak-anak. Semuanya mesti dijelaskan kepada anak secara benar dan bantulah anak mengatasi kekecewaan itu.
  • Teladan
Teladan daripada ibu bapa dan orang lain dalam hidupnya adalah pengajaran yang paling efektif. Teladan yang baik akan meningkatkan ciri yang baik. Teladan yang buruk merosakkan amalan hidup dan kewibawaan anak.
  • Konsep Downshifting (merendah-rendahkan atau menurunkan semangat anak)
Jangan pukul, cubit dan menghina anak. Elakkan mencari salah, membeza-bezakan anak-anak, menyebut jangan, tidak boleh tanpa sebab dan keterangan dan jangan menggunakan amaran yang marah tanpa sebab serta keterangan kukuh.
  • Konsep Expansion vs Replacement (Pengembangan lawan Pengambilalihan)

  • Membina keyakinan diri, maruah dan jati diri

Sumber:

Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Datuk Dr Noor Laily Abu Bakar, Bengkel Hak Perlindungan dan Keselamatan Diri Kanak-kanak anjuran Institut Kefahaman Islam (Ikim).