Pada masa kecil saya dahulu, jurujual yang datang sangat mudah dikenali. Sampai aje depan pintu rumah, terus mereka akan bertanya.
"Mak cik nak beli?" Tanpa berselindung di sebalik kemunculan mereka di rumah kami. Kekadang kedatangan mereka dalam kumpulan dan kemudian mereka berbahagi rumah untuk dikunjungi. MO sebegitu sudah sedia diketahui.
"Mak..mak ...ada van putih. Orang nak jual-jual kot sebab ramai yang turun dari van tu" jelas saya dalam lingkungan usia di bangku sekolah rendah.
"Eh, cepat..cepat...cepat masuk! Tutup pintu!" Arah emak kalau malas nak melayan jurujual.
Kami juga ketakutan selepas emak bagitahu kalau tak tutup pintu nanti orang jual tarik masuk van bawa lari. Kalau tak dan nak tutup pintu, dan jurujual lebih pantas menjengah rumah, terpaksa jugalah emak melayan dengan terpaksa... Untung, kalau abah yang ada di rumah sebab dia lebih tegas untuk mengatakan TIDAK atau TAK NAK. Tambahan, mungkin wajah garang abah menyebabkan jurujual mati akal untuk terus memujuk. Syukur sangat sebab jurujual tidak berjaya masuk ke rumah. Hemmm...jangan tak percaya, ada juga setengah dari mereka yang belum sempat cakap tak nak terus menanggalkan kasut dan bersila dalam rumah untuk 'membentangkan' produk jualan langsung.
Emak saya sendiri pernah terlibat dengan jualan langsung ini. Saya tidak pernah pula melihat dia mempromosi produk seperti jurujual tersebut yang berjalan dari rumah ke rumah. Dia sekadar menunjukkan katalog barangan dengan jiran dan saudara mara yang datang bertandang ke rumah. Mak pemalu dan agak pendiam orangnya. Mungkin sebab itu dia tidaklah menjadi agen jualan yang berjaya.
Bukan maksud saya merendahkan kemampuan emak, tetapi saya rasa dia terpedaya dengan pujuk rayu jurujual untuk menjadi agen. Saya masih ingat, di rumah kami dulu ada satu fail keras yang tertera jenama produk, nama emak sebagai agen. Dalam fail itu terkandung katalog-katalog barangan dan borang tempahan untuk pelanggan. Emak langsung tidak kisah saya dan adik-adik usik. Akhirnya, fail dan segala isi kandungannya menjadi barang mainan kami. Hehe...
Dalam banyak-banyak jurujual, paling best kalau 'orang gendong' yang datang. Orang gendong ialah orang Pakistan atau Myanmar yang datang menjual pakaian tetapi dengan menggendong jualannya di dalam kain dan dijunjung atas kepala. Ada juga benggali yang menjual karpet menggunakan motor. Kalau kumpulan ini datang, pasti emak atau wan (nenek) akan membeli baju untuk kami juga. Suka sangat masa tu sebab dapat baju baru.
Zaman sekarang, jurujual semakin bijak melaksanakan modus operandi mereka. Tiada juga lagi jurujual yang berani masuk ke rumah kecuali dibenarkan. Kalau ada masuk juga, memang sikap kurang ajarnya itu akan mendapat pembalasan pada masa itu juga. Mungkin mereka sudah belajar dari kesilapan dan kelemahan masa lalu. Tiada juga lagi jurujual yang berniaga secara menggendong barangan berat-berat ke rumah-rumah. Mungkin ada, tapi susah nak jumpa.
Beberapa tahun lalu rumah saya di datangi seorang jurujual.
"Kak, kak tadi ada tak orang datang hantar air? Air bersih boleh diminum, diguna untuk masak..." bla...bla... Saya tidak mensyaki niat sebenarnya pun.