Suasana malam sunyi sepi. Bunyi cengkerik bercengkarama dan berdrama sesama mereka memecah sunyi....sesekali kedengaran bunyi suara orang bergelak ketawa. Entah dari bilik sebelah, bilik tv, bilik study ataupun dari blok asrama sebelah. Dari arah mana jua, segalanya mungkin. Lisa melihat jam di tangan. Sudah 12.30 tengah malam. Dia keseorangan di bilik, dan masih meneliti baki nota ekonomi di meja studynya. Peperiksaan jam 2 petang esok. Dia mesti lulus cemerlang. Ini adalah semester dan tahun akhir untuknya di universiti.
Tiba-tiba telefon bimbitnya di atas meja berdering. Lisa terkejut besar. Vibrate telefon itu aja hampir menyebabkan nota-nota ekonomi ditangannya bertaburan di lantai. Missed call. Lisa melihat nama pemanggil. Khairul. Teman baiknya yang belajar di sebuah universiti di pantai timur. Lisa senyum. Khairul memang suka meninggalkan panggilan tidak berjawab. Lebih-lebih lagi di waktu malam. Alasannya, bergurau dan supaya Lisa ingat padanya sebelum tidur.
Kekadang sikap Khairul itu membuat Lisa terfikir mungkinkah teman baiknya yang juga teman sekampung dan sesekolah itu ada menaruh hati terhadap dirinya? Namun mereka jarang berbual lama di telefon. Juga jarang mengirim sms. Mereka bukanlah pasangan kekasih untuk bercerita panjang kisah seharian. Mereka sekadar berkawan. Bak kata orang masakini, teman tapi mesra...